KAD DISKAUN SISWA 1MALAYSIA (KADS1M)

Sebagai makluman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewujudkan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M). Ini merupakan berikutan cadangan yang telah dibentangkan oleh siswa dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 November 2011 untuk membantu meringankan perbelanjaan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara.
Majlis pelancaran KADS1M telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 Julai 2012. KADS1M diberi secara percuma kepada pelajar-pelajar IPT yang mengikuti pengajian jangka panjang yang tempoh masanya 1 tahun dan ke atas (sijil, diploma, ijazah dan ke atas).
Melalui KADS1M, para pelajar akan mendapat diskaun bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian. Pelajar hanya perlu menunjukkan KADS1M bersama-sama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapat diskaun di premis-premis perniagaan yang mengambil bahagian di Malaysia.
KADS1M merupakan flash card dan bukan kad yang menawarkan mata ganjaran. Tempoh sah KADS1M ialah semasa tempoh pengajian pelajar sahaja.
Bermula bulan September 2012, KADS1M telah diedarkan kepada para pelajar IPT Warganegara Malaysia yang mengikuti pengajian sepenuh masa.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, KADS1M akan diperluaskan kepada Fasa 2 iaitu bagi pelajar Malaysia yang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di IPT luar negara.
Sehubungan dengan itu, Bahagian ini memohon untuk mempromosikan KADS1M dikalangan pelajar dan memohon pihak pelajar untuk berdaftar dengan pihak EM/Kedutaan bagi tujuan tersebut. Sila maklumkan:
1. Nama (mengikut Kad Pengenalan)
2. No. Kad Pengenalan
3. Alamat di Malaysia
4. Negeri asal/tempat lahir
Sila hantar maklumat pada/sebelum 10 Mei 2013 melalui email kepada: [email protected]
Sebarang maklumat terkini mengenai Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) akan dikemaskini daripada semasa ke semasa dan boleh dilayari menerusi laman web www.1pengguna.com.
Segala kerjasama mengenai perkara di atas amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih
Halimaton Sa’adiah Binti Sa’don
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Education Malaysia
Jabatan Pengajian Tinggi
Tel : 03-8870 6593
Faks : 03-8870 6853